Klik jika anda bijak

Jangan lepaskan

20 Oktober 2010

Dia datang lagi...

Assalamualaikum dan salam sejahtera RP...

Semangat untuk menulis datang lagi hari ini setelah sekian lama menyepi. Apatah lagi dalam keadaan yang cukup menggundah rasa, meracau akal fikir diri sekarang. Mungkin RP boleh menjadi teman setia yang boleh menerima apa-apa sahaja ledakan dan gejolak jiwa tanpa sebarang bangkangan.

"Kita hanya tahu harganya bila kehilangannya..."

Cantuman kata-kata yang membentuk ayat ini muncul dalam pemikiran saya pada hari ini. Entah kenapa tiba-tiba saya terfikir... Mungkin kerana terlalu melayan perasaan, yang mana akan meninggalkan tempat saya bertapa pada penghujung semester ini. Lima tahun setengah, cukup lama... Pahit? Manis? Semua dirasai. Tiada kata yang boleh menggambarkan kepahitan dan kemanisannya. Hanya deria akal yang boleh mencerna dan memahaminya.

  • Kehilangan yang tak berganti
Apabila direnung-renung dan diimbas kembali masa lalu, air mata bercucuran. Sedih bukan kepalang. Dalam kegembiraan rakan dan taulan ingin merayakan penghabisan zaman sebagai seorang pelatih, saya sedikit sayu dan sebak. Lima tahun setengah memerah keringat untuk ke titik akhir sebagai pelatih. Ingin mencoret bukti kejayaan dalam diri buat mereka yang disayangi. Saya tumpang gembira. Tapi, saya kurang gembira. Entahlah... Saya tak tahu sama ada saya yang bermasalah atau saya kurang kuat atau saya yang tiada semangat. Dilema dalam diri berterusan.

Apabila disingkap permulaan saya di sini, saya bercita-cita untuk menjadi seorang yang paling berjaya. Untuk apa? Pastinya, sebagai bukti bahawa anak kepada dua orang insan yang tidak berpelajaran juga boleh berjaya. Ingin saya buka kelopak mata mereka yang kurang celik untuk mengamati hal ini. Ingin saya terbitkan rasa gembira dan bahagia dalam diri dua orang insan ini.

Namun, mereka tiada rezeki untuk itu. Belum sampai sekerat perjalanan, mereka telah meninggalkan saya. Meninggalkan saya buat selamanya. Jadi, kepada siapa saya hendak tunjukkan kejayaan dan kegembiraan ini? Kehilangan mereka tak berganti... Namun, saya tak berhenti memujuk diri ini. Tak apa, saudara-saudaramu menanti kejayaanmu. Jangan putus asa. Pasti 'mereka' di sana turut gembira melihat kejayaanmu.

  • Kehilangan yang ada gantinya
Perjalanan saya di sini semakin hampir ke titik noktah. Pengalaman dan pengajaran banyak telah saya peroleh. Keringat saya turut banyak mengalir di sini. Tak pernah kering, dari usia 18 tahun dulu sehingga mencecah 23 tahun sekarang.

Persoalannya, keringat yang mengalir ini kelihatankah? Atau diketahuikah? Atau akan dikenangkah? Atau mungkin akan dibual-bualkah? Itu saya tidak pasti dan tidak mahu ambil peduli. Biarkan sahaja. Saya pasti tiada kerisauan pada mereka yang pernah mengeluarkan keringat daripada tubuh saya ini. Apa tidaknya, pengganti saya melambak-lambak di sini. Walaupun kehilangan saya, penggantinya tetap ada...

  • Kehilangan yang akan saya ratapi
Teman dan taulan ramai yang saya kenal di sini. Kawan dan sahabat pun banyak saya temui. Kawan memang ramai, tetapi terlalu sedikit dalam kalangan sahabat. Sahabat yang benar-benar mengenali, yang benar-benar memahami, yang benar-benar mengiringi perjalanan hidup menempuh rona-rona kehidupan. Apa yang pasti, mereka yang pernah bersama saya menangis memang akan saya ratapi kehilangannya, walaupun pasti akan ketemu lagi, kerana mereka adalah sahabat yang sejati. Kawan yang bersama-sama ketawa akan saya lambaikan dengan senyuman ceria.

  • Kehilangan yang tak bererti
Tempoh yang lama di sini, telah mengubah diri saya. Saya telah kehilangan diri saya yang dulu. Tapi, saya tak pernah kisah. Saya sedar dan percaya ramai dungu-dunguan di luar yang terlalu kisah dan ambil peduli perubahan diri saya sehingga disumpah seranah, diejek cerca, diumpat caci. Mereka tidak merasa apa yang saya rasa. Mereka mungkin tidak akan pernah merasa. Biarkan saja. Walaupun perubahan diri saya sekaligus menghilangkan diri saya yang dulu, saya masih gembira untuk itu. Pada saya perubahan ini adalah kehilangan yang tak bererti. Kehilangan diri yang dulu telah menjadikan saya seorang yang cukup kuat dan matang sekarang.


07 Julai 2010

"Positif" mengulit kesyukuran

Selasa (6 Julai 2010): Hari ini saya berasa cukup gembira dan bertubi-tubi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi. Rentetan daripada post yang lepas, berkaitan keputusan kepada proposal yang dikemukan oleh peguam bela tertuduh, jawapannya adalah POSITIF!, ya POSITIF. Ini bermakna kes selesai bak kata Deputy Public Prosecutor (DPP) yang mengendalikan kes ini. Justeru, Khamis ini tidak perlu pergi ke Sibu sekali lagi untuk menyambung sesi trial. Lega. Doa dan ketahanan mental memberikan kekuatan kepada diri ini walaupun pada saya hukuman tidak setimpal dengan apa yang pernah saya alami untuk Seksyen 394 ini. Selebihnya, biarlah Dia yang membalasnya. Kepada DPP yang bertungkus lumus untuk kes ini, sekalung penghargaan dan ucapan berbanyak-banyak terima kasih saya hadiahkan. Terima kasih.

04 Julai 2010

Reduction of... what? Janji SELESAI

Hujung minggu ini cukup memenatkan saya. Fuhh...!

Jumaat: MH2256 Kuching - Sibu at 1600 hrs
Sabtu: MH3697 Sibu - Kuching at 2005 hrs

Sambungan untuk perbicaraan yang masih lagi belum selesai. Disebabkan kes yang direkodkan pada tahun 2007, yang mana melibatkan saya selaku saksi utama (pengadu), Mahkamah Sesyen Sibu dibuka untuk tujuan perbicaraan.

Perbicaraan ditangguhkan lagi sementara menunggu proposal oleh peguam bela tertuduh untuk memohon reduction of the section daripada Seksyen 394 Kanun Keseksaan (maksimum penjara 20 tahun) kepada seksyen yang lebih ringan (maksimum penjara 7 tahun). Di atas desakan waktu pembelajaran, saya berharap proposal ini akan diterima dan kes boleh selesai, dengan syarat apabila proposal telah diluluskan, tertuduh akan mengaku bersalah. Andai negatif jawapannya, maka perbicaraan akan disambung semula dengan seksyen yang asal pada hari Khamis depan (8 Julai 2010). Dengan demikian, maka akan keluar dari sekolah dengan kebenaran khas lagilah saya nanti. Bukankan ini cukup merimaskan kelancaran pembelajaran saya. Saya berdoa, selesailah segera dengan diterima proposal itu walaupun pada saya hukuman yang akan diterima tertuduh mungkin tidak setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Janji, kes selesai! Doakan juga ya...

Tahniah ya

Salam mesra... Terlalu lambatkah untuk diri ini mengucapkan TAHNIAH kepada diri sendiri di atas pencapaian dalam peperiksaan untuk semester lepas? Sama sekali tidak! Tahniah untuk diri perlu terus diucapkan tanpa mengira bila saat yang sedang menjalar ruang waktu.

Tahniah wahai Mohd. Nur Asri bin Hamden! Usaha yang telah dilakukan berhempas pulas semester lepas berbaloi juga. Rekod keputusan diperbaharui dengan mata 3.75. Alhamdulillah. Walaupun pelbagai dugaan mendatang di kala ujian menjelma, kesungguhan dan kejituan hati pasti akan mengatasi segalanya. Hanya satu permohonan dipinta, cemerlang dan kegembiraan akan terus menerpa tanpa ada titik noktah.

23 Mei 2010

Harga sebuah kemanusiaan

Salam sejahtera... Fikiran saya hari cukup tertarik untuk memikirkan madah dalam sebuah iklan TV yang saya kira patut difikirkan bersama.

"Dalam dunia haiwan, tidak ada manusia; Tapi dalam dunia manusia, ada haiwan"

Terkesima seketika dengan kata-kata ini memberi ruang kepada saya untuk berfikir, apa sebenarnya isi tersirat yang hendak disampaikan. Namun apabila ditayangkan beberapa foto menyayat hati memaparkan keadaan bayi-bayi kecil yang tidak berdosa, barulah saya faham, malah cukup faham isi tersirat yang hendak disampaikan oleh iklan sesingkat 7 saat ini.

Ingin saya ajak diri saya dan insan-insan pemikir yang sedang membaca warkah hina saya ini untuk menilai tahap kemanusiaan diri sendiri sepanjang bergelar seorang "MANUSIA"! Terkadang saya terfikir, cukupkah nilai-nilai manusia yang ada dalam diri saya ini? Pernahkah saya tergamak mencalar kemurniaan nilai seorang manusia yang indah ciptaan-Nya? Atau saya hanya bertopengkan kesempurnaan wajah seorang manusia, tapi menjadikan perilaku seekor haiwan sebagai tabiat seharian saya?

Apabila seorang insan yang saya kira menerbitkan sinar gembira dalam kehidupan saya menghadiahkan kata-kata yang cukup berinti kemanusiaan kepada saya, saya merasa benar-benar bertuah. Segar dan mekar dalam ingatan saya kata-katanya.

"Ingat, di sini ada insan yang sangat mengambil berat akan dirimu dan ada keluarga yang cukup menyayangimu meskipun baru berkenal-kenal. Tiada rasa asing pernah wujud dalam diri."

Saya merasa cukup bertuah dan terharu akan kata-kata yang seikhlas ini. Jurang usia dan tempoh perkenalan bukanlah suatu medan untuk mengurangkan inci keakraban dalam perhubungan. Apabila saya terkenang nasib diri yang kadang-kadang bersenandung sendirian, air mata terasa bergenang. Apabila saya terkenang perjalanan hidup di dunia yang luas ini tanpa insan-insan bergelar keluarga di sisi, air mata saya mula menitik. Apabila saya terkenang kesusahan dan kesakitan yang tiada siapa pernah mengerti, air mata semakin pantas mengalir dan mengundahkan jiwa.

Namun, apabila terngiang-ngiang akan kata-kata yang cukup menggembirakan ini, saya tersedar dari khayalan yang sia-sia. Kenapa harus berfikiran sedemikian? Seolah-olah saya menolak ketentuan takdir Yang Kuasa. Saya sebenarnya harus sentiasa sedar dan percaya bahawa saya tidak pernah sendirian dalam meniti liku kehidupan di alam fana ini. Saya perlu yakin dan percaya akan kewujudan-Nya yang sentiasa memerhati gerak laku diri yang hina dan lemah ini. Lagipun, sebenarnya saya perlu sedar dan membuat penelitian yang jitu akan kehadiran insan-insan yang cukup nilai kemanusiaanya dan istimewa, yang cukup mengambil berat akan diri ini dan cuba memberikan limpahan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada diri ini.

Menyedari akan hakikat ini, saya yakin bahawa manusia masih mempunyai harga kemanusiaan yang cukup mahal dan tiada noktahnya. Justeru, saya menyeru diri saya agar sentiasa memahatkan rasa dihargai dalam diri dan sentiasa menghargai akan kehadiran insan-insan yang berharga dalam hidup ini. Buat insan-insan yang menyayangi diri ini, yakin dan percayalah bahawa saya juga menyayangi diri kalian bukan sekadar di saat ini, tetapi selagi badan dikandung hayat, selagi mata celikkan cahaya, selagi ingatan ampuh dilindungi-Nya... Terima kasih.

22 Mei 2010

Guru dan lesen perguruan?

Salam sejahtera dan salam 1Malaysia...

Sejenak saya terfikir apabila berita mengenai lesen perguruan ditimbulkan di dalam akhbar Utusan edisi 22 Mei 2010, "Tiada cadangan laksana lesen perguruan". Apabila ada segelintir pemikir yang berharap agar profesion guru ini perlu diberikan taraf kelayakan sebagai seorang guru dan keesahan melalui lesen setanding dengan doktor, peguam dan profesionalis yang lain, saya merasa cukup tersentuh dah rasa bangga dengan mereka. Cadangan daripada insan-insan yang mengagungkan profesion keguruan ini sememangnya tidak harus dipandang enteng dan diperlekehkan semata-mata. Pada saya, guru dan bidang keguruan merupakan modal utama negara ini untuk menjejak dan merangkul idaman seantero negara, yakni mewujudkan negara membangun mengikut acuan sendiri, seperti mana yang terpatri dalam Wawasan 2020 yang disediakan pemikir hebat negara, mantan PM ke-4, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Jumaat lepas, sambutan Hari Guru 2010 peringkat IPG Kampus Tun Abdul Razak telah dilancarkan. Satu sambutan yang saya rasa perlu dilaksanakan dalam suasana yang paling meriah berbanding apa-apa sambutan lain yang diadakan di dalam sesebuah IPG. Andaikata seorang guru tidak memberikan makna yang memberi kesan yang dalam pada hari keraianny, iaitu Hari Guru, apalagi insan-insan yang lain. Sedikit rasa bangga terbit dalam diri saya apabila ada mulut-mulut yang menyebut tentang sambutan Hari Guru 2009, yang mana sayaterlibat secara langsung. Pujian dan ingatan mereka terhadap sambutan lepas menunjukkan betapa sambutan berkenaan memberikan impak kepada mereka, mungkin impak yang cukup maksima. Walaupun di dalam suasana yang ringkas, namun kemeriahan cukup terasa. Dan dalam keadaan yang demikian, penghargaan terhadap seorang guru telah diberi penekanan yang sewajarnya. Kepada yang menyertai sambutan 2009, pasti akan terkenang-kenang dengan gimik pelancaran majlis tersebut. Klip video, kek, pinggan bertulisan, "Kau Ilhamku", jamuan dan banyak lagi. Kos rendah, tapi harus diingat, kualiti harus memenangi hati yang menyertai. Kesimpulannya, andai rambut belum cukup beruban, jangan sembunyikan diri daripada yang sudah jelas ubannya...

"Tahniah. 'Siapa aku tanpa dirimu' memang best. Bravo bro!" (Ike Sepuyu)
"asriiiiiiii...bez tdik aie...dhla kmk suka dgr certain part nk kmk pdh riya..triple thumbs up laaaa..;)" (Beat)
Demikian, komen-komen yang cukup memberangsangkan daripada para penonton semasa persembahan kumpulan Seperdu semasa sambutan Harii Guru 2010. Mungkin seri majlis tersebut terletak pada persembahan ini. Bukan hendak mengisi bakul saya sendiri, tapi ingin diulang semula prinsip sesuatu adegan persembahan, mesti ringkas, menarik dan terpenting sekali memberi kesan pada diri yang menyaksikan adegan tersebut. Apa-apa pun, terima kasih di atas perhatian semua. Kepuasan memang saya rasakan bila mana karya yang tak seberapa saya, "Siapa aku tanpa dirimu", telah dibacakan di hadapan segenap khalayak dan saya sendiri dapat melihat sebahagian khalayak yang teruja dengan karya yang tak seberapa ini. Konklusi, misi tercapai!

Akhir kata, 'siapa aku tanpa dirimu', wahai guruku...

19 Mei 2010

Hibernat

Sekali lagi bersua... Hari ini, saya rasa telah membuang banyak masa terluang di atas keempukan tilam. Benar kata-kata, 'bila bulu bertemu bulu, enak rasanya'; yakni tidur. Masa beradu dalam lingkungan masa 6 jam di kala panas mentari, sebenarnya cukup memenatkan.

Beruang cukup sinonim dengan kata 'hibernat', iaitu perbuatan merehatkan diri atau tidur yg dilakukan oleh sesetengah haiwan sebagai cara utk menghadapi musim sejuk (Kamus Dewan, 2004). Namun, terlibatkan saya dalam perbuatan ini kerana, ketika ini musim panas, lagipun tiada musim dingin di negara ini. Kelaparan sememangnya boleh mengatasi keenakan manusia. Kelaparan mengganggu 'hibernat' saya pada hari ini. Setelah bersiap dan menikmati hidangan, rehat yang cukup diperlukan. Tanpa melengahkan masa, kaca TV peneman setia dicari. Sofa empuk dilanyak. Rehatlah secukupnya selagi berpeluang.

Ketika berehat-rehat, terbaca lagi keratan artikel 'Enam pelajar digantung sekolah kerana majlis hari jadi' (Utusan Malaysia, 19 Mei 2010). Apa hendak jadi dengan pemikiran kita sekarang... Meraikan dan menggembirakan orang lain pun turut menjadi kesalahan. Bukan mudah untuk membuatkan orang gembira. Walaupun mendapat tindakan yang difikirkan kurang wajar, tidaklah menjadi suatu kerisauan sangat adik-adikku (pelajar yang terlibat) kerana kalian telah berusaha menggembirakan teman kalian. Dan saya percaya, teman anda merasa dihargai dan digembirakan oleh kalian. Saya juga percaya, hidup akan menjadi lebih bermakna jika kita tidak menjadikan kata-kata nista orang lain penghalang kepada niat baik yang kita ingin laksanakan. Umpama kudis dan kurap yang boleh diubati dengan krim scabicides. Sama-sama kita fikirkan.


Penghargaan

Salam sejahtera semua... Terdetik di akal fikir tema bicara hari ini apabila saya melayari Utusan Online, dengan berita utama berbunyi "Wajib beri cuti sehari dalam seminggu" (19 Mei 2010). Ini jelas memaparkan betapa setiap insan mempunyai hak hakiki untuk senantiasa dihargai di atas keberhasilan yang telah disumbangkan. Demikian juga pada fikiran saya dengan situasi saya sendiri sebagai insan lemah dan hina di fana ini. Falsafah 'memberi dan menerima' perlu sentiasa dipegang kejap dalam diri agar dapat menjadi seorang manusia seperti pandangan Carl Rogers terhadap manusia, yang mana manusia mempunyai potensi untuk bersifat positif. Diri kita sendirilah yang mendorong potensi tersebut.

Terkadang, saya acap terfikir dan berfikir bilamana berpeluang mendapat nasib yang kurang elok apabila bertemu dengan insan-insan yang lemah nilai menghargai dan dihargai. Dengan demikian, terbitlah pertanyaan monolog, "Kenapa ada juga yang sedemikian rupa?". Pertanyaan ini saya jawab sendiri di atas dasar untuk menyedapkan hati sendiri dengan frasa, 'itulah kepelbagaian individu'.

Namun, saya tetap sedar dan percaya bahawa tiada perasaan yang lebih indah dan bahagia melainkan bila kita mampu menggembirakan orang lain. Bagaimana? Hargailah orang lain seadanya.

Gambar di sebelah berkisar tentang hadiah daripada seorang insan sempena ulangtahun saya yang lepas. Dengan hati yang cukup ikhlas saya menerimanya dengan penghargaan yang takkan berbelah bahagi...

18 Mei 2010

Diaktifkan semula

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

  1. Pertama dan selamanya, syukur ke hadrat-Nya kerana masih lagi dihidupkan di dunia yang penuh dengan keindahan ini. Sekian lama menyepi tanpa berita - bukan kerana ketandusan ide, tapi langkah pencegahan daripada timbul perkara-perkara yang tidak menyenangkan akal fikir diri dan orang lain.
  2. Hari ini, usiaku genap 23 tahun 2 hari. Ulangtahun kelahiran baru sahaja dikongsikan bersama insan2 istimewa dalam hidup seorang pengembara solo yang berkelana di Serian. Sekitar suasana ulangtahun boleh disaksi bersama mengikut pautan Birthday 2010. Moga terus dipanjangkan usia oleh-Nya dan diberkati selalu.
  3. Sebagai mengakhiri, dikongsikan bersama puisi coretan sempena hari guru untuk tatapan umum dan penghayatan bersama.
Siapa aku tanpa dirimu (Prof. Asri, 13 Mei 2009, Serian)

Ku teringat kata pujangga
dan benar aku sendiri percaya
tidak akan ku kenal nikmat hidup berilmu
tanpa hadir seorang guru.

16 Mei berlalu sudah
tarikh keraian seorang guru
di kala 16 Mei bertandang sahajakah perlu ku kenang seorang guru?
di kala 16 Mei bertandang sahajakah perlu ku ingat peri penting seorang guru?
di kala 16 Mei bertandang sahajakah perlu ku julang jasa seorang guru?
di kala 16 Mei bertandang sahajakah baru ku ucap ‘Terima kasih cikgu, jasamu ku kenang’?

Jasa guru tiada pernah noktahnya
bermula tatkala ku kenal A B C, 1 2 3
hingga ku bisa menggalas segulung ijazah.

Aku berjanji pada diriku
akan ku rendahkan diriku
pada martabat seorang guru
waima ijazahku bergulung-gulung
waima namaku ditabik dengan doktor mahupun profesor
akan ku tetap agung puja
jasa seorang guru
yang pernah mendidik ajarku
walaupun namanya diselit kata ‘cikgu’ Cuma.

Guruku
sedetik wajahmu muncul dalam diam
bukan hanya di kala 16 Mei bertandang
sentiasa ada kerdipan
sentiasa ada sinar
terima kasih aku ucapkan
siapa aku tanpa dirimu.

16 Ogos 2009

Terubat sepi

Malam tadi, I tido awal betol la. Jam 10.30 mlm dah tido dah bro. Em... Ngantok sangat sebab bertugas awal pagi kelmarin kot. Pagi tadi, pun bangun awal pada pagi Sabtu, jam 9 pagi dah bangun. Apoohhh...

Aku dan 2 orang member aku g jalan2 dari pagi tadi sampai petang tadi. Pergi main boling, pergi karaoke. 17 buah lagu kitorang nyanyi. Sampai spoek suara aku. Hahaha... Enjoy sungguh. Terisi juga rasa sepi dalam jiwa ini. Muahahahaha...

Em, macam ni lah hidup kot. Kalau rasa sunyi dan sepi, jangan sekali2 diteruskan macam tu je. Carilah jalan agar tak boring dan sepi. Bilamana sepi, hati akan keliru kadang2. Perkara2 yang tak best, segalanya akan datang dalam kesepian tu. Tapi, terkadang sendiri dan kesepian tu amat perlu, untuk merehatkan fikiran yang berat dan lebat. Kepada para pembaca, hidup ini singkat, nikmati keindahan hidup sebelum ia berakhir. Jangan sekali2 siakan kawan yang ada di sekeliling. Bilamana disiakan, segalanya pun berakhir. Kepada teman2 ku yang jauh di mata, aku sebenarnya rindu sangat pada kalian, tambah2 di saat kesepian melanda diri. Bukan aku taknak berhubung dengan korang, tapi aku bimbang sebenarnya. Bimbang mengganggu kehidupan kalian. Harap2 kalian senantiasa di bawah lembayung lindungan Tuhan.