Klik jika anda bijak

Jangan lepaskan

Memaparkan catatan dengan label Buat teman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buat teman. Papar semua catatan

20 Oktober 2010

Dia datang lagi...

Assalamualaikum dan salam sejahtera RP...

Semangat untuk menulis datang lagi hari ini setelah sekian lama menyepi. Apatah lagi dalam keadaan yang cukup menggundah rasa, meracau akal fikir diri sekarang. Mungkin RP boleh menjadi teman setia yang boleh menerima apa-apa sahaja ledakan dan gejolak jiwa tanpa sebarang bangkangan.

"Kita hanya tahu harganya bila kehilangannya..."

Cantuman kata-kata yang membentuk ayat ini muncul dalam pemikiran saya pada hari ini. Entah kenapa tiba-tiba saya terfikir... Mungkin kerana terlalu melayan perasaan, yang mana akan meninggalkan tempat saya bertapa pada penghujung semester ini. Lima tahun setengah, cukup lama... Pahit? Manis? Semua dirasai. Tiada kata yang boleh menggambarkan kepahitan dan kemanisannya. Hanya deria akal yang boleh mencerna dan memahaminya.

  • Kehilangan yang tak berganti
Apabila direnung-renung dan diimbas kembali masa lalu, air mata bercucuran. Sedih bukan kepalang. Dalam kegembiraan rakan dan taulan ingin merayakan penghabisan zaman sebagai seorang pelatih, saya sedikit sayu dan sebak. Lima tahun setengah memerah keringat untuk ke titik akhir sebagai pelatih. Ingin mencoret bukti kejayaan dalam diri buat mereka yang disayangi. Saya tumpang gembira. Tapi, saya kurang gembira. Entahlah... Saya tak tahu sama ada saya yang bermasalah atau saya kurang kuat atau saya yang tiada semangat. Dilema dalam diri berterusan.

Apabila disingkap permulaan saya di sini, saya bercita-cita untuk menjadi seorang yang paling berjaya. Untuk apa? Pastinya, sebagai bukti bahawa anak kepada dua orang insan yang tidak berpelajaran juga boleh berjaya. Ingin saya buka kelopak mata mereka yang kurang celik untuk mengamati hal ini. Ingin saya terbitkan rasa gembira dan bahagia dalam diri dua orang insan ini.

Namun, mereka tiada rezeki untuk itu. Belum sampai sekerat perjalanan, mereka telah meninggalkan saya. Meninggalkan saya buat selamanya. Jadi, kepada siapa saya hendak tunjukkan kejayaan dan kegembiraan ini? Kehilangan mereka tak berganti... Namun, saya tak berhenti memujuk diri ini. Tak apa, saudara-saudaramu menanti kejayaanmu. Jangan putus asa. Pasti 'mereka' di sana turut gembira melihat kejayaanmu.

  • Kehilangan yang ada gantinya
Perjalanan saya di sini semakin hampir ke titik noktah. Pengalaman dan pengajaran banyak telah saya peroleh. Keringat saya turut banyak mengalir di sini. Tak pernah kering, dari usia 18 tahun dulu sehingga mencecah 23 tahun sekarang.

Persoalannya, keringat yang mengalir ini kelihatankah? Atau diketahuikah? Atau akan dikenangkah? Atau mungkin akan dibual-bualkah? Itu saya tidak pasti dan tidak mahu ambil peduli. Biarkan sahaja. Saya pasti tiada kerisauan pada mereka yang pernah mengeluarkan keringat daripada tubuh saya ini. Apa tidaknya, pengganti saya melambak-lambak di sini. Walaupun kehilangan saya, penggantinya tetap ada...

  • Kehilangan yang akan saya ratapi
Teman dan taulan ramai yang saya kenal di sini. Kawan dan sahabat pun banyak saya temui. Kawan memang ramai, tetapi terlalu sedikit dalam kalangan sahabat. Sahabat yang benar-benar mengenali, yang benar-benar memahami, yang benar-benar mengiringi perjalanan hidup menempuh rona-rona kehidupan. Apa yang pasti, mereka yang pernah bersama saya menangis memang akan saya ratapi kehilangannya, walaupun pasti akan ketemu lagi, kerana mereka adalah sahabat yang sejati. Kawan yang bersama-sama ketawa akan saya lambaikan dengan senyuman ceria.

  • Kehilangan yang tak bererti
Tempoh yang lama di sini, telah mengubah diri saya. Saya telah kehilangan diri saya yang dulu. Tapi, saya tak pernah kisah. Saya sedar dan percaya ramai dungu-dunguan di luar yang terlalu kisah dan ambil peduli perubahan diri saya sehingga disumpah seranah, diejek cerca, diumpat caci. Mereka tidak merasa apa yang saya rasa. Mereka mungkin tidak akan pernah merasa. Biarkan saja. Walaupun perubahan diri saya sekaligus menghilangkan diri saya yang dulu, saya masih gembira untuk itu. Pada saya perubahan ini adalah kehilangan yang tak bererti. Kehilangan diri yang dulu telah menjadikan saya seorang yang cukup kuat dan matang sekarang.


07 Julai 2010

"Positif" mengulit kesyukuran

Selasa (6 Julai 2010): Hari ini saya berasa cukup gembira dan bertubi-tubi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Illahi. Rentetan daripada post yang lepas, berkaitan keputusan kepada proposal yang dikemukan oleh peguam bela tertuduh, jawapannya adalah POSITIF!, ya POSITIF. Ini bermakna kes selesai bak kata Deputy Public Prosecutor (DPP) yang mengendalikan kes ini. Justeru, Khamis ini tidak perlu pergi ke Sibu sekali lagi untuk menyambung sesi trial. Lega. Doa dan ketahanan mental memberikan kekuatan kepada diri ini walaupun pada saya hukuman tidak setimpal dengan apa yang pernah saya alami untuk Seksyen 394 ini. Selebihnya, biarlah Dia yang membalasnya. Kepada DPP yang bertungkus lumus untuk kes ini, sekalung penghargaan dan ucapan berbanyak-banyak terima kasih saya hadiahkan. Terima kasih.

04 Julai 2010

Reduction of... what? Janji SELESAI

Hujung minggu ini cukup memenatkan saya. Fuhh...!

Jumaat: MH2256 Kuching - Sibu at 1600 hrs
Sabtu: MH3697 Sibu - Kuching at 2005 hrs

Sambungan untuk perbicaraan yang masih lagi belum selesai. Disebabkan kes yang direkodkan pada tahun 2007, yang mana melibatkan saya selaku saksi utama (pengadu), Mahkamah Sesyen Sibu dibuka untuk tujuan perbicaraan.

Perbicaraan ditangguhkan lagi sementara menunggu proposal oleh peguam bela tertuduh untuk memohon reduction of the section daripada Seksyen 394 Kanun Keseksaan (maksimum penjara 20 tahun) kepada seksyen yang lebih ringan (maksimum penjara 7 tahun). Di atas desakan waktu pembelajaran, saya berharap proposal ini akan diterima dan kes boleh selesai, dengan syarat apabila proposal telah diluluskan, tertuduh akan mengaku bersalah. Andai negatif jawapannya, maka perbicaraan akan disambung semula dengan seksyen yang asal pada hari Khamis depan (8 Julai 2010). Dengan demikian, maka akan keluar dari sekolah dengan kebenaran khas lagilah saya nanti. Bukankan ini cukup merimaskan kelancaran pembelajaran saya. Saya berdoa, selesailah segera dengan diterima proposal itu walaupun pada saya hukuman yang akan diterima tertuduh mungkin tidak setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Janji, kes selesai! Doakan juga ya...

Tahniah ya

Salam mesra... Terlalu lambatkah untuk diri ini mengucapkan TAHNIAH kepada diri sendiri di atas pencapaian dalam peperiksaan untuk semester lepas? Sama sekali tidak! Tahniah untuk diri perlu terus diucapkan tanpa mengira bila saat yang sedang menjalar ruang waktu.

Tahniah wahai Mohd. Nur Asri bin Hamden! Usaha yang telah dilakukan berhempas pulas semester lepas berbaloi juga. Rekod keputusan diperbaharui dengan mata 3.75. Alhamdulillah. Walaupun pelbagai dugaan mendatang di kala ujian menjelma, kesungguhan dan kejituan hati pasti akan mengatasi segalanya. Hanya satu permohonan dipinta, cemerlang dan kegembiraan akan terus menerpa tanpa ada titik noktah.

14 Mei 2009

Tidak pernah dilupakan

Bertemu teman

Sekian lama juga tidak bersua muka dengan teman rapat SP yang menuntut di IPGM KSM. Sebelum berangkat pulang, SP berkesempatan berborak sakan dengan rakan yang satu ini. Tidak pernah renggang hubungan yang telah dijalinkan sekian lama. Inilah teman yang kita perlukan dalam hidup ini. Walau berjauhan, jarang berhubungan, tapi jalinan rakan tetap ampuh seperti ikan, walaupun berendam di dalam air masin, masih tawar jua rasanya.

08 Mac 2009

Perjalanan memenatkan

Sang Pemikir baru balik dari kampung (Kampung Sekerang Igan - sebuah kampung yang terletak di daerah Matu di dalam bahagian Mukah). Perjalanan pergi dan pulang amat memenatkan.

Pergi ke Mukah naik bas pada Jumaat, 6 Mac 2009, jam 10.00 malam; tiba di Mukah jam 9.00 pagi; berangkat ke Igan jam 11.30 pagi, tiba di Igan jam 12 tengahari.

Balik ke Kuching naik bot ekspres. Berangkat dari Igan naik speed bot, hari Ahad, 8 Mac 2009, jam 6.30 pagi; tiba di Sibu jam 9.30 pagi; berangkat dari Sibu ke Kuching naik bot ekspres jam 11.00 pagi; tiba di Kuching jam 4.30 petang.

Berada di Igan kurang satu hari, tapi perjalanan balik ke Igan hampir memakan masa satu hari. Memenatkan sungguh. Namun, atas dasar tanggungjawab yang ingin dilangsaikan di Igan, terpaksa jua pulang. Pada masa yang sama, dapat jua melawat dan melihat2 keadaan rumah yang sudah lama ditinggalkan tanpa berpenghuni. Kerinduan terhadap rumah belum sempat dilunaskan, namun terpaksa pulang awal ke IPG atas urusan yang lain pula.

Kehidupan sememangnya penuh kesibukan. Andai gagal menguruskannya, yang dikendong jatuh, yang dikejar berciciran. Tatkala sibuk, terkenang saat sunyi tanpa sebarang pekerjaan. Namun pabila sunyi, senantiasa menginginkan kesibukan. Manusia tak pernah bersyukur dengan apa yang ada...

06 Mac 2009

Selamat Ulangtahun temanku

5 Mac 2009, ulangtahun kelahiran teman baikku, N. Moga panjang umur murah rezeki. Seharian aku meluangkan masa keluar meraikan ulangtahunnya, walaupun badanku penat setelah beberapa hari memerah otak untuk Malam Mengenang Yang Telah Pergi, atas tujuan menghiburkan hati temanku yang tengah bermuram durja. Moga-moga cepat sembuh luka di hati. Hehe...

Malam nanti aku akan berangkat balik ke Igan, melawat rumah dan mengambil barang dari kampung. Tak sabar nak tengok rumah, tapi berdebar2 jugak sebab nak balik seorang diri. May God Bless me...

Ada lawatan pergi ke Stadium Negeri pagi ni nanti. Moga berjaya dan licin perjalanannya.

Words of the day:
Hidup umpama rambut, sekejap panjang sekejap pendek, sekejap segak sekejap nampak hodoh. Hidup, sekejap indah sekejap muram...

04 Mac 2009

Kerinduan akan terubat

Sekian lama tidak berjumpa dengan adik beradikku. Kerinduan membuak-buak. Tapi, minggu depan aku akan berpergian ke tanah Semenanjung menemui mereka. Tak sabar rasa hati. Hati mana yang tak gembira tatkala menunggu saat ingin bertemu yang tersayang. Namun, kita acap kali lupa dan leka untuk gembira pabila bersama yang tersayang kerana kita jarang berpisah dari mereka.

Bukan mudah untuk bahagia, juga bukan mudah untuk menempuh derita. Terkadang derita mengajar bagaimana untuk bahagia. Tapi, bahagia sering melekakan untuk bersedia menempuh derita. Kerinduanku pasti terubat tatkala melihat raut wajah adik-beradikku, memeluk mereka dan bersalam tangan dengan mereka. Teman, sayangilah mereka yang perlu anda sayang selagi ada. Pabila mereka sudah berpergian, tiada apa yang anda inginkan lagi melainkan bertemu mereka.

Menyengat

Tak sabar rasanya menunggu sengatan Seperdu, nama kelab yang tengah diusahakan untuk mendapat pengiktirafan sah oleh pentadbiran. Telah dipersetujui di peringkat Jabatan, menunggu masa disahkan yang terbabit sahaja lagi.

Bermacam-macam ide timbul untuk aktiviti yang akan dijalankan. Tapi Sang Pemikir masih dalam rencana menerbitkan Malam Mengenang Yang Telah Pergi. Suatu malam yang akan membolehkan hati-hati insan sepi yang sunyi dipertontonkan untuk renungan dan peringatan bersama. Syukur, proses perencanaan mendapat sokongan dari yang sepatutnya menyokong. Tema kesedihan dan titisan air mata akan mendahului rencana Seperdu.

Ingat, sesiapa yang belum pernah merasai rasa sedih, tidak akan pernah menikmati rasa gembira dengan sebenar-benarnya. Terkadang kita lupa perasaan mereka yang sering bersedih lantaran kegembiraan yang tidak pernah lekang dari sisi kita.

09 Januari 2009

Selamat jua...

Syukur alhamdulillah, selamat jua usia ku sehingga ke tahun 2009. Bermula lembaran 2009 Sang Pemikir dengan post kali ini. 2008 yang penuh kedukaan, ditinggalkan. Pabila detik 12:01 a.m., 1 Januari 2009, aku menetapkan satu azam baru.
Gembira, dan terus menggembirakan orang lain, kerana menggembirakan akan mengecapi rasa gembira yang lebih daripada rasa gembira itu sendiri.

Sebelum melangkah ke tahun 2009, aku mengalami pengalaman yang amat tidak enak...
Kesunyian tahap melampau, kesedihan tahap tertinggi, keseorang tahap maksima.

Cuti hujung tahun 2008 yang lepas, aku balik ke kampung. Tinggal seorang diri di rumah peninggalan arwah mak dan apak. Sedih, amat sunyi dan berseorang memang menyakitkan, menyakitkan jiwa dan lara. Namun, peluang ini aku gunakan untuk merenung sejenak nasib dan takdir diri. Kesimpulanku mudah, Yang Esa sudah mengaturkan sesuatu yang pastinya perlu aku terima seadanya. Lantaran itu, aku perlu teruskan hidup waima berseorang walau ke mana-mana pun.

Apa yang aku harapkan pada tahun ini, kegembiraan. Andai duka, gembira perlu ada. Andai tidak gembira, perlu terus ujudkan gembira. Tidak kira apa, gembira dan tenangkan hati. Tiap kali selesai kewajipan di tikar solat, aku memohon moga-moga aku ditenangkan hati dan dipermudahkan oleh-Nya dalam segala hal.

20 Januari - Ulangtahun tarikh pemergian arwah apak ke Rahmatullah
30 Januari - Ulangtahun tarikh kelahiran arwah apak

Januari, akan datang setiap tahun, dan sepastinya menghadiahkan rasa sedih kepadaku. Namun, aku perlu tempuh jua.

19 Januari 2009, perbicaraan kes aku di Mahkamah Sesyen Sibu, bagi menuntut keadilan di atas penganiayaan terhadap diriku pada awal 2007.

Ketika perbicaraan kes yang sama pada Mei 2008 lepas aku ditemani ibuku, kini aku keseorangan, tanpa sesiapa. Aku berdoa moga aku terus kuat menghadapinya walaupun tiada lagi mahakarya cintaku yang sudah kembali ke rahmat-Nya.

Aku amat berharap, tiada lagi titis air mataku yang gugur pada tahun ini. Moga-moga azamku tercapai.

Semasa musim percutian lepas, aku terfikir akan sesuatu. Pasti tiada yang merasa sebegitu sunyi sepertiku... Andai ada, aku saja yang tak tahu. Mana tidaknya, pabila mencari teman-teman untuk menemani kesunyian, semuanya senyap sepi. Konklusinya, mana ada orang yang betah menemani kita setiap masa. Setiap orang ada komitmen sendiri. Justeru, belajarlah untuk menghiburkan diri walaupun sendirian. Itulah resam kehidupan. Tiada akan ada yang akan terus setia menemani kita tambahan lagi ketika kita sepi, sunyi dan sedih. Andai gembira dibaurkan keriangan, usah dicari lagi, memang tersedia di depan mata.

Namun, aku tetap bersyukur. Aku selamat jua menghadapi saat kesunyian tahap melampau itu. Syukran ya Rabbi.

Kepada teman-teman yang menemaniku di saat kesunyian itu, terima kasih yang maha banyak buat kalian.

Sang Pemikir akan terus aktif mencurahkan idea-idea untuk difikir dan direnung. Teruskan bersama Sang Pemikir.

Wassalam.

06 Ogos 2008

Tak terfikir Sang Pemikir

6 Ogos 2008, Rabu

Helo... Apa tanggapan pertama pembaca Sang Pemikir apabila membaca tajuk aku kali ni? Adakah anda beranggapan Sang Pemikir ada masalah? Atau mungkin Sang Pemikir buntu akan sesuatu? Atau boleh jadi, Sang Pemikir sudah putus asa untuk meneruskan kerjayanya, iaitu berfikir? Kalau demikian tanggapan kalian, kalian silap. Apa yang aku nak keutarakan kali ni, juga melibatkan isu2 pemikiran dan kehidupan, yang sepastinya akan membuka lebar pemikiran anda semua... Jangan risau, fikiran pemikir tetap berfikir... :-)

Lebih baik aku coretkan perjalanan hidup aku hari ni. Hari ni penuh keceriaan dan 'tanda tanya' kepadaku. Aku menghindar dari sesuatu hari ni, atas alasan sakit perut... Hahaha... Malas sebenarnya. Huhu... Jauh2kan lah sakit perut tu. Sebelah petang aku menikmati keindahan alam serta meneroka keindahan alam yang mikro dan jarang dihargai dan dipertontonkan, bersama teman2 akrabku. Alangkah indahnya alam, bila melihat semut2 berlumba2 masuk ke dalam busutnya, alangkah indahnya alam bila berpeluang melihat sang kumbang bertenggek di pokok2 renek, alangkah indah alam andai semua orang menyedari akan kekotoran alam, dan alangkah indahnya alam andai kegembiraan dan kesedihan dikongsikan bersama. Em, tertanya2? Petang tadi aku dan teman2ku meneroka keindahan alam yang sering dipijak2 oleh manusia. Pernahkah kita melihat dan menghayati erti kehidupan berteman dan kebersamaan? Andai belum pernah, lihatlah kejadian semut ciptaan Tuhan. Sentiasa bersama untuk penghidupan di dalam busut, tempat tinggal mereka. Kebersamaan membawa kegembiraan walaupun mereka tahu akan dipijak2 gergasi2, iaitu manusia tak kira masa. Banyak lagi sebenarnya keindahan yang tak pernah kita sedar dan hargai... Inilah yang tak terfikir oleh sang pemikir betapa banyak lagi benda2 kat muka bumi ini yang indah yang belum pernah sang pemikir lihat dan hargai.

Sesuatu yang gembira akan lebih bermakna bila mana kegembiraan itu dikongsi bersama. Andai perlu ditertawakan, tertawalah secara bersama dengan bersungguh2... Hahaha... Andai ada kesedihan yang perlu dikongsikan, jangan lupa untuk dikongsikan secara bersama. KEBERSAMAAN MEMBAWA KEBAHAGIAAN. Kita akan merasa bahagia apabila tiada terlalu difikirkan permasalahan dalam pemikiran. Jalan terbaik, carilah teman yang boleh menjadi harapan untuk medan perkongsian. Bagi sang pemikir, sesuatu yang banyak akan berkurang jika dibahagi2kan secara sama rata. Kalau ada sepotong kek, alangkah indahnya detik bila kek itu dikongsikan bersama2 teman2 akrab, tidak kira lah cuma berpeluang memakan secubit kek. Yang penting, sama2 merasa. Sama juga situasinya, kalau ada 'sepotong' masalah, bahagikan masalah tu sama rata dengan cara berkongsi dengan teman2 akrab, biar sama2 semua mendengar dan merasai masalah itu. Kesannya, taklah terlalu berat menanggung bebanan masalah itu sendirian. Tak terfikir sang pemikir andai masalah2 dikumpul dan disimpan sendirian... Banyak bah itu...

Sang pemikir tahu, isu yang paling digemari oleh pembaca ialah isu cinta yang sepastinya melibatkan perasaan. Pernah sang pemikir terdengar seseorang menyatakan, "Jangan bermain dengan perasaan..." Perghhh... Aku rasa orang yang berkata seperti ini, sebenarnya tak tahu apa yang dia cakapkan, seperti alamat2 awal yang biasanya cenderung dilihat kepada mereka yang tinggal 40 hari lagi tu... Heheh... Bagi aku, prinsip dalam percakapan itu sangat mudah, cakapkan apa yang kita faham dan lakukan serta amalkan dalam kehidupan seharian kita. Umpamanya, janganlah bertopengkan kepura2an, bercakap seperti wali, menyeru orang seperti pemerintah terpuji, "Janganlah tengok bahan2 lucah, boleh merosakkan aqidah dan iman", berulang kali disebutkan semasa sesinya, tapi apa yang menyebabkan sang pemikir tak terfikir, sang wali dan pemerintah ini, menyedut salinan bahan2 lucah secara rahsia tanpa memberitahu tuan punya. Ahahaha... Wali pemerintah tak suruh tengok lucah, tapi dia tengok... Tak terfikir betul...

Apa kata anda andai pengorbanan dan rasa kasih anda tak terbalas sepenuhnya. Umpamanya, rasa cinta sepenuhnya terhadap buah hati tak dipentingkan sesungguhnya. Itu perkara enteng... Jangan sedih jangan berduka. Ingat kata2 yang seringkali aku nyatakan, 'dunia ini penuh keadilan, sesuatu perkara pasti akan mendapat tempat yang sepatutnya'. Itulah keadilan, aku dapat, dia akan dapat juga. Andai tidak sekarang, kemudian2 pasti mendapat. Andai kita mendapat kebahagiaan, orang lain pasti akan turut merasai kebahagiaan. Andai kita merasa derita, jangan gusar, itulah penghidupan, penderitaan memang akan dirasai oleh semua orang, kerana dunia ini adil. Waima orang kaya yang berharta akan turut merasai derita. Bahagia dan derita umpama peperiksaan SPM, perlu diduduki untuk berpeluang ke menara gading, semua yang ingin merasai keindahan dunia, perlu merasai keduanya. Jadi, andai anda merasa amat tertekan atas sebab rasa derita oleh seseorang yang bukan atas salah sendiri, janganlah merasa tidak gembira, ingatlah keadilan sudah terpatri di alam fana ini. Tapi, jangan silap faham... Andai rasa tertekan itu berpunca dari diri sendiri, janganlah mengharapkan keadilan itu datang, mudah kata: andai anda menjadi punca pertengkaran dalam suatu hubungan, dan kemudian anda tertekan lantaran pertengkaran itu, jangan berharap yang teman pertengkaran itu akan tertekan juga, anda yang bersalah, salahkanlah diri sendiri... Huhu... Ngerti nggak?

Kelebihan dan kekurangan, semua orang BERHAK memilikinya. Tiada yang sempurna. Justeru, jangan berduka andai memiliki kekurangan yang boleh membezakan anda dengan orang lain. Umpamanya... Aku lihat diri aku sendiri, aku tidak arif bersukan, tapi ramai teman arif bersukan, aku tidak merasa rendah diri langsung... Kenapa? Aku arif bab2 kebahasaan, tapi mereka tidak... Semua ada kelebihan dan kekurangan, syukurilah seadanya. Jangan salahkan Yang Esa andai memiliki kekurangan. Dia Adil. Tapi, sang pemikir tak terfikir andai ada insan yang merasa terlalu rendah dirinya pabila memiliki kekurangan, kerana secara otomatisnya, orang sebegini sebenarnya tidak menghargai kelebihannya! :-(

Isu kedua, hari ini penuh tanda tanya... Pelbagai tanda tanya. Apalah seronoknya memalukan diri sendiri? Tak terfikir sungguh sang pemikir. Sanggup bercetera al-kisah yang akan memalukan diri sendiri, dan sanggup pula melakukan sesuatu yang cukup menjijikkan... Eeee... Harap2 dijauhkan... Ingat, jangan pernah berniat untuk memalukan diri sendiri dengan menceritakan keaiban diri kepada yang lain. Jagalah malu dan maruah sendiri, sebab tiada orang yang akan pernah kisah akan malu dan maruah diri kita, melainkan diri kita sendiri.

Terakhir dari sang pemikir kali ni, ingatlah bahawa "TAHI ITU BERBAU!" Walaupun disimpan di dalam tangki tahi, ia akan tetap berbau kerana tahi memang berbau. Bersamaan dengan perkara buruk yang kita lakukan, akan tetap diketahui orang kerana keburukan itu buruk. Sesuatu yang buruk akan diketahui juga, tidak sekarang, kemudian2 pun akan diketahui andai tidak dijaga dengan sebaiknya.

Sekian, stay cool... Dada...

05 Ogos 2008

Terlalu istimewa

Kesejahteraan sejagat dipohonkan untuk diriku, keluargaku, guru2ku, rakan2ku dan seluruh umat manusia... Aku tidak berkesempatan untuk menukilkan sesuatu kelmarin disebabkan kekangan waktu dan tenaga. Kelmarin merupakan hari yang indah dan terlalu istimewa buat diriku. Aku berkesempatan berbual dengan bondaku melalui talian telefon. Rinduku terubat juga. Sudah dua hari tidak mendengar suaranya, hidup terasa kosong. Ingatanku kepada semua, sayangilah orang yang amat menyayangi diri anda seadanya. Jangan pernah disiakan...

Kelmarin juga, aku mendengar suatu pengalaman yang aku rasakan cukup mengerikan dari seorang pengajarku. Pengajarku disabotaj oleh pengajarnya semasa membuat latihan mengajar. Amat tidak wajar dan sungguh mengerikan. Bagi yang berada di IPG, masa depan semua terletak di tangan pengajar selain usaha sendiri. Harap2 dijauhkan pengalaman ngeri pengajarku itu. Ia mengajar aku agar sentiasa menjadi seorang yang bermuka2 kepada pengajar walaupun tidak berpuas hati. Haha... Itu bukan aku, tidaaaaakkkk...

Malamnya, aku pergi berjumpa teman lama. Lama tidak berbual mesra. Temanku itu banyak berubah. Berubah fizikal dan mentalnya. Itulah manusia, cukup dinamik. Amat mudah berubah dan menerima perubahan. Itulah yang menjadikan dunia cukup indah. Kedinamikan manusialah yang melengkapi alam yang serba indah ciptaan Yang Esa ini. Satu sahaja harapanku, rasa kasih sayangku kepada buah hatiku takkan berubah sebilanya... Juga ku pohon buah hati pun takkan berubah rasanya walaupun manusia dinamik sifatnya...

Apakah yang aku rasakan terlalu istimewa tentang diriku? Aku terkadang tidak dapat menyatakan keistimewaan sendiri melainkan orang lain... Orang lain adalah cermin diri kita. Tapi, harus berhati2 apabila kita melihat cermin ini. Orang yang lembam dan dungu pemikirannya akan sentiasa melihat diri kita satu imej yang cukup hina dan teruk bila mana kita berbuat sesuatu yang tidak digemarinya. Justeru, harus jangan diterima bulat2 gambaran cermin yang hodoh. Kenapa? Semua orang itu istimewa...

Aku ada suatu cetera... Aku pernah berteman dengan seseorang. Apa kata aku namakan artis ni sebagai X. Aku dan X agak rapatlah jugak, sehinggakan terlalu ramai teman2 rapat ku yang beranggapan aku dan X pacaran... Hahaha... Oh, tidak...! X merupakan orang yang terlalu sukar untuk memahami akan perasaan dan personaliti orang lain. Terlalu suka mengatakan sesuatu perkara yang langsung tidak matang dan terkadang boleh dikatakan sebagai apa sahaja yang dicakapkan oleh si X akan membawa kepada rasa menyampah dan sakit hati. Bukan kerana kata2nya kasar, tetapi terlalu bodoh untuk didengar... Aku beri contoh:
Bila aku katakan: "Aku dan kakakku nak pergi pasar nak beli buah2an untuk mak"
Dijawabnya: "Nak beli buah apa?"
Bagi aku, jawapan itu terlalu bodoh dan tidak langsung memenuhi kehendak situasi. Adalah lebih elok kalau dijawabnya: "Elok2 pergi ya..." Kan begitu lebih sedap untuk didengar dan akan menunjukkan kematangan kita kepada orang lain. Aku cuma nyatakan satu contoh, lebih banyak lagi contoh situasinya. Kemudian, sebagai orang yang lebih dewasa dari segi usia, aku memang tersangat selalu menegur kelembaman X ni. Pada mulanya, aku gunakan cara yang cukup lembut, dan pasti tidak mampu untuk menyakitkan hati sesiapa. Namun tiada perubahan, malah menjadi2... Kalau langkah lembut tak berkesan, gunakan saja cara yang lebih drastik. Apalagi, aku gunakan kata2 yang lebih direct to the point, dan aku berjaya menyedarkan kedunguan X, tapi untuk seketika saja. Dungu nya kembali lagi dan makin menjadi. Memang dungu! Hahahaha... Akhirnya, aku malas nak membuatkan diriku bergelumang dengan kedunguan si X ni. Aku semakin menjauhkan diri. Buat apa bersama orang yang tak nak menerima nasihat dan teguran kan? Tapi, yang menjadi tanda tanya kepadaku, atas musabab apa si X sanggup mengatakan aku "bodoh" padahal aku tidak pernah mengeluarkan kata sehina itu kepadanya waima memang gelaran itu patut diterimanya. Justeru, dalam lembaran ini, secara rasminya, aku mengumumkan X mendapatkan gelaran dungu dan lembam, lebih manis bunyi nya berbanding bodoh kan? Rupa2nya kita akan menjadi bodoh jika menasihati orang... Jadi, pembaca Sang Pemikir, jauhi si X ni, dan sepastinya, jangan tegur sebarang, nanti dikatakan sebagai bodoh. Hahahahahaha... Unik kan? Itu satu jenis manusia.. Memang dinamik kan... Mungkin merasakan diri terlalu lengkap padahal, compang camping kurangnya... Belum terserlah lagi lebihnya, sudah menunjukkan kekurangan diri... Manusia2...

Satu yang ingin aku nyatakan... Kita adalah istimewa andai kita istimewa... Istimewa terlalu luas definisinya. Andai anda merasakan anda perlu dilabelkan sebagai istimewa, memadailah kita hargai diri kita dengan mengatakan: "Tahniah, Sang Pemikir, kau buat yang terbaik, cuba lagi untuk lebih baik ok?" Motivasi diri sendiri andai tiada yang pernah mahu memotivasikan kita. Jangan asyik mahu merendah diri dan mendengar kutukan dan cercaan orang yang langsung tidak akan pernah puas hati akan kehadiran dan keistimewaan kita. Ingat, kita semua terlalu istimewa... :-)

03 Ogos 2008

Penat dihiasi suka

Masa aku tulis lembaran kali ni, jam menunjukkan pukul 3 pagi. Mata aku tak dapat tidur. Lepas habis kursus intensit BSMM (Sabtu, tamat jam 5.30), aku terus tidur sampai tengah malam. Penat sangat. Memang sangat penat. Walaupun aku penat sangat, tapi aku merasakan suatu kepuasan yang tak terhingga. Aku rasakan objektif yang ingin aku capai melalui kursus yang aku cadangkan ini telah tercapai. Aku katakan kepada semua ahli BSMM, "Untuk menjaga maruah dan 'kemaluan' kita semasa perkhemahan lepas cuti nanti, kita perlu korbankan hari Sabtu kita bersama2." Dan setinggi2 syukur dipanjatkan ke hadrat Yang Esa kerana semuanya berjalan dengan lancar. Semua ahli memberikan kerjasama yang diharap2kan. Akibat dah tidur sampai tengah malam, mata aku pun segar sampai saat aku menukilkan lembaran ini. Ketika ini, aku juga sedang menonton siri drama Korea, "Snow Queen".

Apabila kita menerima sesuatu yang cukup manis, indah dan bererti, sepastinya kita akan merasa sangat bersukacita... Entah kerana apa, aku merasa cukup gembira apabila aku menerima satu panggilan daripada seorang teman yang sudah aku tunggu sekian lama tepat jam 12 tgh mlm, dan mungkin kerana itu, mata aku masih segar ni. Aku dan teman aku ni, sebelum ni memang tersangatlah akrab, umpama belangkas. Tetapi, disebabkan oleh seekor jalang, hubungan kami renggang. Aku rasakan sudah lebih sebulan aku dan temanku ini tidak bertegur sapa. Cukup sedih bila aku kenangkan peristiwa ni. Bagi aku, teman aku ni sudah aku anggap seperti sedarah sedaging aku. Tapi, apakan daya, Tuhan memberi dugaan dalam hubungan persahabatan ini. Aku seringkali berdoa agar hubungan aku dan teman aku ni, akan kembali seperti dulu. Panggilan yang aku terima pada jam 12 tengah mlm ni tadi, akan aku kenang tak kira masa.

Kepada temanku itu...
Mungkinkah kerana ego kita akan berduka? Atau mungkin kerana terlalu menjaga status, kita menjadi ego? Aku merasa cukup bersalah kepada kau kerana aku terlalu ego. Maaflah... Aku cuba untuk melupakan peristiwa 'hitam' yang berlaku yang melibatkan orang yang telah mencalarkan persahabatan kita, tapi apabila aku kenangkan kembali, sepastinya aku merasa tersangat geram. Mana tidaknya, aku tidak pernah melakukan kesalahan yang digembur2kan itu, namun aku dipersalahkan. Tidakkah itu tindakan yang tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya atau dalam kata mudah tidak adil. Aku memang teringin sangat nak tegur kau, nak berborak dengan kau, terlalu banyak yang aku nak kongsikan dengan kau, macam sebelum ni, tapi entah kerana apa, hati aku masih merasa merajuk. Em, aku harap kita boleh balik macam dulu... Aku sayangkan persahabatan kita, dan aku harapkan sangat ia akan kekal sampai bila2...
Tapi, apa yang pasti, setelah menerima panggilan balas dari kau, aku merasa akan ada suatu sinar yang akan menjernihkan hubungan kita yang pernah keruh. Walaupun aku penat sangat hari ni, kau telah membuatkan aku suka. Terima kasih banyak... :-)