Klik jika anda bijak

Jangan lepaskan

09 Januari 2009

Selamat jua...

Syukur alhamdulillah, selamat jua usia ku sehingga ke tahun 2009. Bermula lembaran 2009 Sang Pemikir dengan post kali ini. 2008 yang penuh kedukaan, ditinggalkan. Pabila detik 12:01 a.m., 1 Januari 2009, aku menetapkan satu azam baru.
Gembira, dan terus menggembirakan orang lain, kerana menggembirakan akan mengecapi rasa gembira yang lebih daripada rasa gembira itu sendiri.

Sebelum melangkah ke tahun 2009, aku mengalami pengalaman yang amat tidak enak...
Kesunyian tahap melampau, kesedihan tahap tertinggi, keseorang tahap maksima.

Cuti hujung tahun 2008 yang lepas, aku balik ke kampung. Tinggal seorang diri di rumah peninggalan arwah mak dan apak. Sedih, amat sunyi dan berseorang memang menyakitkan, menyakitkan jiwa dan lara. Namun, peluang ini aku gunakan untuk merenung sejenak nasib dan takdir diri. Kesimpulanku mudah, Yang Esa sudah mengaturkan sesuatu yang pastinya perlu aku terima seadanya. Lantaran itu, aku perlu teruskan hidup waima berseorang walau ke mana-mana pun.

Apa yang aku harapkan pada tahun ini, kegembiraan. Andai duka, gembira perlu ada. Andai tidak gembira, perlu terus ujudkan gembira. Tidak kira apa, gembira dan tenangkan hati. Tiap kali selesai kewajipan di tikar solat, aku memohon moga-moga aku ditenangkan hati dan dipermudahkan oleh-Nya dalam segala hal.

20 Januari - Ulangtahun tarikh pemergian arwah apak ke Rahmatullah
30 Januari - Ulangtahun tarikh kelahiran arwah apak

Januari, akan datang setiap tahun, dan sepastinya menghadiahkan rasa sedih kepadaku. Namun, aku perlu tempuh jua.

19 Januari 2009, perbicaraan kes aku di Mahkamah Sesyen Sibu, bagi menuntut keadilan di atas penganiayaan terhadap diriku pada awal 2007.

Ketika perbicaraan kes yang sama pada Mei 2008 lepas aku ditemani ibuku, kini aku keseorangan, tanpa sesiapa. Aku berdoa moga aku terus kuat menghadapinya walaupun tiada lagi mahakarya cintaku yang sudah kembali ke rahmat-Nya.

Aku amat berharap, tiada lagi titis air mataku yang gugur pada tahun ini. Moga-moga azamku tercapai.

Semasa musim percutian lepas, aku terfikir akan sesuatu. Pasti tiada yang merasa sebegitu sunyi sepertiku... Andai ada, aku saja yang tak tahu. Mana tidaknya, pabila mencari teman-teman untuk menemani kesunyian, semuanya senyap sepi. Konklusinya, mana ada orang yang betah menemani kita setiap masa. Setiap orang ada komitmen sendiri. Justeru, belajarlah untuk menghiburkan diri walaupun sendirian. Itulah resam kehidupan. Tiada akan ada yang akan terus setia menemani kita tambahan lagi ketika kita sepi, sunyi dan sedih. Andai gembira dibaurkan keriangan, usah dicari lagi, memang tersedia di depan mata.

Namun, aku tetap bersyukur. Aku selamat jua menghadapi saat kesunyian tahap melampau itu. Syukran ya Rabbi.

Kepada teman-teman yang menemaniku di saat kesunyian itu, terima kasih yang maha banyak buat kalian.

Sang Pemikir akan terus aktif mencurahkan idea-idea untuk difikir dan direnung. Teruskan bersama Sang Pemikir.

Wassalam.

2 ulasan:

Nazmie Samarahan berkata...

Salam..
Moga Allah terus memberikan pada mu kesabaran wahai sahabat ku..

aNak GenTa berkata...

Sang Pemikir to Ustaz Nazmi:

Salam... Amin ya Rabbal Alamin. Terima kasih wahai temanku. Ku harap kita akan terus bersama dan berteman tak kira seluas mana dunia dijelajah dan dituju...