Klik jika anda bijak

Jangan lepaskan

23 Mei 2010

Harga sebuah kemanusiaan

Salam sejahtera... Fikiran saya hari cukup tertarik untuk memikirkan madah dalam sebuah iklan TV yang saya kira patut difikirkan bersama.

"Dalam dunia haiwan, tidak ada manusia; Tapi dalam dunia manusia, ada haiwan"

Terkesima seketika dengan kata-kata ini memberi ruang kepada saya untuk berfikir, apa sebenarnya isi tersirat yang hendak disampaikan. Namun apabila ditayangkan beberapa foto menyayat hati memaparkan keadaan bayi-bayi kecil yang tidak berdosa, barulah saya faham, malah cukup faham isi tersirat yang hendak disampaikan oleh iklan sesingkat 7 saat ini.

Ingin saya ajak diri saya dan insan-insan pemikir yang sedang membaca warkah hina saya ini untuk menilai tahap kemanusiaan diri sendiri sepanjang bergelar seorang "MANUSIA"! Terkadang saya terfikir, cukupkah nilai-nilai manusia yang ada dalam diri saya ini? Pernahkah saya tergamak mencalar kemurniaan nilai seorang manusia yang indah ciptaan-Nya? Atau saya hanya bertopengkan kesempurnaan wajah seorang manusia, tapi menjadikan perilaku seekor haiwan sebagai tabiat seharian saya?

Apabila seorang insan yang saya kira menerbitkan sinar gembira dalam kehidupan saya menghadiahkan kata-kata yang cukup berinti kemanusiaan kepada saya, saya merasa benar-benar bertuah. Segar dan mekar dalam ingatan saya kata-katanya.

"Ingat, di sini ada insan yang sangat mengambil berat akan dirimu dan ada keluarga yang cukup menyayangimu meskipun baru berkenal-kenal. Tiada rasa asing pernah wujud dalam diri."

Saya merasa cukup bertuah dan terharu akan kata-kata yang seikhlas ini. Jurang usia dan tempoh perkenalan bukanlah suatu medan untuk mengurangkan inci keakraban dalam perhubungan. Apabila saya terkenang nasib diri yang kadang-kadang bersenandung sendirian, air mata terasa bergenang. Apabila saya terkenang perjalanan hidup di dunia yang luas ini tanpa insan-insan bergelar keluarga di sisi, air mata saya mula menitik. Apabila saya terkenang kesusahan dan kesakitan yang tiada siapa pernah mengerti, air mata semakin pantas mengalir dan mengundahkan jiwa.

Namun, apabila terngiang-ngiang akan kata-kata yang cukup menggembirakan ini, saya tersedar dari khayalan yang sia-sia. Kenapa harus berfikiran sedemikian? Seolah-olah saya menolak ketentuan takdir Yang Kuasa. Saya sebenarnya harus sentiasa sedar dan percaya bahawa saya tidak pernah sendirian dalam meniti liku kehidupan di alam fana ini. Saya perlu yakin dan percaya akan kewujudan-Nya yang sentiasa memerhati gerak laku diri yang hina dan lemah ini. Lagipun, sebenarnya saya perlu sedar dan membuat penelitian yang jitu akan kehadiran insan-insan yang cukup nilai kemanusiaanya dan istimewa, yang cukup mengambil berat akan diri ini dan cuba memberikan limpahan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada diri ini.

Menyedari akan hakikat ini, saya yakin bahawa manusia masih mempunyai harga kemanusiaan yang cukup mahal dan tiada noktahnya. Justeru, saya menyeru diri saya agar sentiasa memahatkan rasa dihargai dalam diri dan sentiasa menghargai akan kehadiran insan-insan yang berharga dalam hidup ini. Buat insan-insan yang menyayangi diri ini, yakin dan percayalah bahawa saya juga menyayangi diri kalian bukan sekadar di saat ini, tetapi selagi badan dikandung hayat, selagi mata celikkan cahaya, selagi ingatan ampuh dilindungi-Nya... Terima kasih.

2 ulasan:

aziera berkata...

Jutaan terima kasih untuk madah yg begitu bermakna. Namun dalam meniti hari-hari yang berlalu saya rasa teruja dapat mengenal seseorang yagn amat luhur budi pekertinya dan menerima persaudaraan tanpa berbelah bahagi. Tapi tidak kt sedari ada mahluk yg tdk profesional yang berpandangan negatif dan menggunakan kata-kata kesat tanpa usul periksa.Sesungguhnya dalam agama Islam amat menuntut tali silaratulrahim sesama manusia.
Dalam kepayahan ini tdk pantas memikir apa yang dapat mengatakan apa yang patut dikatakan. Nak menegakkan benang yang basah itu jauh sekali. Mengapa penderitaan dan keperitan dalam meniti hidup sebagai manusia tidak pernah berakhir. Mengapa payah sangat hendak mengecapi kebahagiaan. Mungkin telah tertulis sejak azali.Hanya tuhan saja yang tahu gelora dihati.
Dalam keyakinan hubungan yg tiada akan ada noktahnya tiba-tiba ribut datang melanda. Dari arah mana dtgnya, baru terfikir bahawa ada orang yang tidak suka melihat hidup org bahagia.Nekat dalam diri segala diserahkan pada takdir kerana itu adalah ketentuannya kt hanya berdoa. Tiada air yg dapat memadamkan api yg marak menyala.
Hanya berpegang pada mutiara kata ini.
Apa yang disangka buruk, menyakitkan dan jahat, mampu menjadi sumber keindahan, kebahagiaan dan kekuatan,jika kita menghadapinya dgn fikiran yang terbuka. Setiap detik adalah detik keemasan bagi mereka yang mempunyai wawasan untuk mengenalinya.
Terima kasih.

aNak GenTa berkata...

Salam mesra daripada Perakam Pujangga,

Aziera:

Peribahasa Melayu ada menyatakan, "Di luar bagai madu, di dalam bagai hempedu". Membawa konotasi makna yang cukup sinonim dengan tingkah manusia di bumi Dia Yang Maha Kaya ini. Dalam kesempurnaan kejadian, tetap tersemat unsur yang boleh menyakitkan rasa dan jiwa insaniah seorang manusia yang lain.

Berbanyak-banyak terima kasih di atas kunjungan ke "Perakam Pujangga" yang baru sahaja diaktifkan semula setelah sekian lama disimpan tanpa sebarang perkhabaran. Keterlaluan jika dikatakan diri saya terlalu luhur perkertinya kerana saya adalah makhluk yang cukup hina dan sering alpa dalam meniti hidup sebagai satu entiti dalam komuniti. Lagi-lagi, saya tergolong dalam kelompok yang nakal dan tidak begitu baik. Apa-apa pun terima kasih diucapkan.

Sejenak saya terfikir akan kata-kata yang paling tepat untuk menjawab madah Aziera berkaitan ucapan terima kasih untuk madah penghargaan yang telah saya berikan dalam lembaran "Harga Sebuah Kemanusiaan". Sekelip mata juga saya mendapat ilham, tiada kata yang lebih indah untuk dikatakan dan didengar melainkan ungkapan ini: "Suatu penghargaan wajib diberikan kepada insan yang perlu dihargai".

Liku-liku hidup sememangnya cukup mencabar. Dalam kepayahan meneroka kehidupan yang indah, cabaran dan dugaan yang mendatang perlu didepani dengan langkah bijak dan penuh hemah. Bukan hendak mengakui akan kehebatan diri yang masih terlalu hijau dalam dunia kemanusiaan ini. Lagi-lagi dengan usia yang terlalu cetek dan pengalaman yang sebesar zarah ini. Kesukaran dan kepahitan hidup yang pernah dirasai sedikit sebanyak menjadikan diri ini masak dan sedikit matang untuk memberikan madah kepada yang berduka.

Ketika di dalam duka dan hidup bermandikan air mata, tidak pernah sekali pun takdir saya salahkan. Saya seringkali mengingatkan diri saya bahawa, saya tidak akan diuji oleh-Nya dengan dugaan yang sebegini andaikata saya tidak mampu berdepan dengan dugaan ini. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Dia hanya memberi kepada yang boleh dan dapat menerimanya. Maksudnya, mereka yang dibenarkan dan berkemampuan untuk menerima apa yang hendak diberikan.

Ribut dan taufan yang membadaikan kehidupan merupakan resam perhubungan. Tidak pernah ada situasi di mana semua makhluk bergelar manusia berpuas hati akan kebahagiaan orang lain. Akan ada sahaja celoteh yang boleh mengguris hati, yang boleh merenggang hubungan, malah boleh memutuskan hubungan yang sedia kukuh terjalin. Mudah untuk mengatakan "pedulikan saja", namun itulah hakikat sebenar kehidupan. Dengan tindakan tanpa mempedulikan rencah manusia yang tiada rasional malah tidak keterlaluan jika dikatakan hidup tanpa nilai profesional, segalanya akan menjadi sedikit aman dan akan perlahan-lahan menyepi tanpa berita.

Ya, memang benar, tiada air yang bisa memadamkan api yang sedang marak, melainkan dengan keizinan Yang Maha Kuasa. Hanya Dia yang boleh memadamkan nafsu marah syaitan yang menyerap dalam diri manusia. Sesungguhnya, serah diri kepada takdir adalah tindakan terbijak yang perlu diambil oleh setiap hamba yang hina dan dina ini.

Namun, harus diingat akan kepentingan nilai maruah diri yang perlu sentiasa dipegang erat serta dijulang tinggi. Mana ada hak yang asasi diberikan oleh-Nya kepada manusia untuk mencalarkan hak dan maruah diri orang lain. Sesungguhnya maruah yang diagung julang itulah kunci kepada kemaslahatan hidup.

Akhir kata, tiada duka yang perlu didukakan, kerana tiada bahagia yang dibenarkan untuk dikacaubilaukan.

Salam mesra.